KUALA LUMPUR, 15 Julai - Pendekatan peningkatan kemahiran (upskilling) dan kemahiran semula (reskilling) dilihat sebagai langkah berkesan untuk menangani isu ketidakpadanan pekerjaan, khususnya dalam era teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, inisiatif ini perlu dipergiatkan bagi memastikan tenaga kerja masa hadapan bersedia memenuhi keperluan industri semasa.
"Jika dahulu banyak kerja dilakukan secara manual dan menggunakan kertas, kini semuanya beralih kepada sistem digital. Maka, kita perlu melatih semula pekerja agar mereka dapat menguasai teknologi digital ini," katanya.
Tambahnya, perkembangan AI dan pendigitalan bukan ancaman kepada pasaran kerja, malah mewujudkan permintaan lebih tinggi terhadap pekerja berkemahiran digital dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Pasaran Latihan ASEAN (ATMC) di ibu negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Abdul Rahman berkata ATMC berperanan sebagai platform menyelaras sistem latihan dan pendidikan dengan kehendak sebenar industri, seiring aspirasi ASEAN Year of Skills 2025.
Persidangan tersebut menghimpunkan 500 peserta dari negara-negara ASEAN, membuka ruang kerjasama lebih meluas dalam pembangunan model latihan berskala yang boleh dilaksanakan di seluruh rantau.
Antara tumpuan utama yang diketengahkan termasuk perluasan penggunaan platform digital, alat pembelajaran berasaskan AI, serta kaedah penyampaian hibrid.