fb fb fb fb fb

Persidangan Antarabangsa Media dan Komunikasi 2025 pada 28-30 Oktober

Dr. Arina Anis Azlan / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Buat julung kalinya, Persidangan Antarabangsa Media dan Komunikasi 2025 (Mention 2025) akan diadakan di Menara Affin @ TRX, Kuala Lumpur pada 28 hingga 30 Oktober 2025.

Ia sebelum ini diadakan di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi.

Persidangan itu menghimpunkan para akademik, pelajar pascasiswazah, pengamal industri serta masyarakat dalam usaha memahami dan merangka pendekatan komunikasi yang lebih efektif dalam mencorak perubahan sosial.

Pengarah Persidangan Antarabangsa Media dan Komunikasi 2025, Dr. Arina Anis Azlan berkata objektif utama penganjuran itu adalah untuk merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri.

Bertemakan "Media dan Komunikasi untuk Perubahan: Memajukan Transformasi Sosial dan Kesejahteraan Masyarakat", tema itu dipilih berdasarkan peranan komunikasi dalam mendorong perubahan sosial, terutamanya dalam konteks kesihatan awam, tingkah laku kewangan serta pematuhan dasar awam.

“Kita mahu melihat bagaimana komunikasi boleh membentuk tingkah laku masyarakat secara semula jadi tanpa paksaan, melalui mesej yang disesuaikan dengan konteks dan audiens,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini hari ini.

Persidangan itu juga menampilkan ucaptama dari wakil RTM serta seorang pakar dari 'Chinese University of Hong Kong', yang akan mengupas isu semasa dan berkongsi pengalaman dari perspektif global.

Sementara itu, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Prof. Madya Dr. Emma Mirza Wati Mohamad berkata komunikasi hari ini harus dilihat melebihi fungsi menyampaikan maklumat semata-mata.

“Kita sudah tahu maklumat seperti merokok itu berbahaya atau makanan segera tidak sihat. Tapi tanpa seni komunikasi, maklumat itu tidak akan membawa kepada perubahan,”ujar Prof. Dr. Emma ketika menjadi tetamu dalam rancangan terbitan RTM di sini.

Beliau turut menekankan bahawa kemahiran literasi maklumat perlu diperkuat bagi membolehkan masyarakat menilai dan menggunakan maklumat dengan bijak, terutamanya dalam era kebanjiran maklumat dan kecerdasan buatan.

Selain itu, Prof. Dr. Emma turut berkongsi dua trend penyelidikan terkini yang semakin mendapat perhatian dalam bidang komunikasi.

Antaranya, Literasi terhadap Kecerdasan Buatan dan Maklumat Palsu, dan Pendekatan Behavioral Insights dan Komunikasi Ekologi.

“Daripada keputusan membeli, memilih gaya hidup hingga sokongan terhadap dasar, semuanya boleh dibentuk melalui strategi komunikasi yang bersandarkan sains tingkah laku,” katanya.

Persidangan itu juga dijangka menjadi platform penting dalam mencambahkan idea dan menjalin kerjasama antara penyelidik serta pengamal industri untuk perancangan kajian masa depan yang lebih praktikal dan berimpak tinggi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM