fb fb fb fb fb

Penunggang motosikal cedera dihempap pokok tumbang

Foto JBPM Pulau Pinang

BUTTERWORTH, 15 Julai - Dua buah kenderaan dihempap sebatang pokok yang tumbang di hadapan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Butterworth awal pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, kejadian tersebut mengakibatkan seorang penunggang motosikal cedera ringan, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, kereta dipandu mangsa rosak pada bahagian hadapan

Insiden berlaku dari arah Butterworth menghala ke Teluk Air Tawar.

"Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pada pukul 6.23 pagi tadi sebelum tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian. Operasi berjaya dikawal pada pukul 6.38 pagi.

"Mangsa yang mengalami kecederaan diberi rawatan awal di lokasi kejadian dan dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

"Pihak bomba telah menjalankan kerja-kerja pemotongan pokok menggunakan peralatan khas bagi mengalihkan halangan serta memastikan kawasan selamat.

"Operasi disertai enam anggota dan penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth.

"Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.19 pagi sebelum lokasi diserahkan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM