fb fb fb fb fb

Peniaga Terengganu dikesan jual ayam dengan harga tinggi

FOTO FAIL

KUALA TERENGGANU, 9 November - Sebanyak 34 notis dikeluarkan kepada peniaga di Terengganu yang dikesan menjual ayam pada harga terlalu tinggi sejak pengapungan harga ayam dikuatkuasa 1 November lalu.

Sebelum ini, sebahagian besar peniaga di pasar awam menjual ayam standard pada harga terlalu tinggi hingga mencecah RM11 sekilogram.
 
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata, notis dikeluarkan selepas tinjauan dibuat.
 
Kesemua peniaga yang menerima notis tunjuk sebab itu bertindak menurunkan semula harga runcit ayam berkenaan sehingga ada yang mencecah RM8 sekilogram.
 
"Jadi kita telah membuat pemeriksaan dan kita sudah keluarkan notis pada peniaga untuk memberi maklum balas kenapa peningkatan harga sedemikian dan selepas kita ambil tindakan sedemikian ada penurunan harga selepas itu kepada RM10.50. Jadi tindakan proaktif daripada peniaga," kata Saharuddin, di sini.

Terdahulu beliau menghadiri Program Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2023, di sini.
 
Antara lapan jenis barangan terlibat bawah skim itu ialah bawang besar import, bawang kecil India, daging biri-biri import dan kacang dal.
 
Tempoh pelaksanaan skim berkenaan bermula 9 November hingga 15 November.

Sementara itu di Johor, tiada kenaikan harga ayam secara mendadak dilaporkan, kata Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo.

Tinjauan pihaknya ke pasaraya dan pasar awam mendapati harga yang ditawarkan tidak membebankan rakyat termasuk ketika musim perayaan.

"Tidak ada masalah setakat ini malahan harga yang ditawarkan menjadi lebih murah dan lebih baik dimana mereka boleh berlumba-lumba untuk memberikan harga yang terbaik buat semua pengguna ataupun pembeli. Setakat ini Alhamdulillah daripada segi bekalan tiada masalah," kata Lilis kepada media selepas Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali di sebuah Pasaraya di sini.

Beliau turut mengulas berkaitan kes kedai makan yang didakwa mengenakan bayaran mahal untuk hidangan makanan laut di Medan Selera Tepian Tebrau kepada pasangan selebriti pada 4 Oktober lalu.

Siasatan selesai dilakukan dan sedang menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya untuk menentukan samada kes berkenaan dikenakan kompaun atau dibawa ke mahkamah.

Setakat ini terdapat dua kesalahan dan dua kertas siasatan dibuka iaitu berkaitan tiada tanda harga atau harga mengelirukan dan menjual dengan harga yang tidak munasabah.

TETITIA YUSOFF