fb fb fb fb fb

KPDN Kelantan wujud pelan kontigensi banjir

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail

KOTA BHARU, 9 November - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mewujudkan pelan kontigensi banjir sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula Sabtu ini.

Pengarahnya Azman Ismail berkata, ia melibatkan tiga fasa persediaan iaitu sebelum bencana, semasa bencana dan tempoh pasca banjir pemulihan selepas fenomena bencana alam.

Ini bagi memastikan keberadaan bekalan barang kawalan dan keperluan asas mencukupi, mudah diperoleh dan dijual dengan harga yang ditetapkan kerajaan serta berpatutan.

Pihaknya juga telah melantik 'Point of Interest' terdiri daripada 39 pemborong utama dan 66 peruncit terpilih di setiap daerah untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

Pemborong dan peruncit barang kawalan dibenar menambah had simpanan bekalan barang kawalan melebihi 30% kuantiti daripada had simpanan sedia ada yang dibenarkan dalam lesen asal barang kawalan berjadual dalam tempoh musim bencana ini.

"Kita bagi kuota tambahan 30% untuk disimpan untuk persediaan musim banjir ini, antaranya beras, telur,susu, barang-barang keperluan asas itu memang diwajibkan tambah. Seluruh Kelantan kita bekalkan bagi mempastikan barang mencukupi, kita akan bekalkan apabila berlakunya banjir," kata Azman kepada pemberita selepas menghadiri “Walkabout” Meninjau Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 di sebuah pasaraya, di sini.

Lapan jenis barangan akan dikawal sepanjang tempoh perayaan termasuk kambing bertulang, cili merah, tomato, kelapa biji, bawang merah kecil india dan kacang dal.

Seramai 145 pegawai penguat kuasa dan 86 pegawai pemantau harga akan melakukan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari bagi memastikan peniaga akur sepenuhnya arahan yang telah dikeluarkan.

Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan bawah skim tersebut.

Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

TETITIA YUSOFF