SEREMBAN, 9 November- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Sembilan mengumumkan beberapa syarat tambahan pengeluaran lesen perniagaan yang berkuatkuasa serta merta bagi mengekang aktiviti penyelewengan lesen perniagaan oleh warga tempatan.
Ia berikutan terdapat penyalahgunaan lesen terbabit kepada warga asing sehingga menguasai beberapa lokasi perniagaan di negeri itu.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J. Arul Kumar berkata antara syarat tambahan adalah setiap pemohon lesen perlu berdaftar dengan Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan nombor fail sebelum memohon atau memperbaharui lesen.
"Sebab itu kita bekerjasama dengan LHDN, di mana hukuman bawah Akta LHDN sangat berat bukan macam agensi lain, kita meletakkan beberapa syarat supaya syarat ia perlu dipatuhi oleh pemegang-pemegang lesen.
"Apabila ada tindakan daripada LHDN, kita harap tidak ada mana mana warganegara kita yang menyewakan atau meminjamkan lesen mereka kepada warganegara asing,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media Syarat Syarat Tambahan dalam Pengeluaran Lesen Perniagaan oleh PBT di Pejabat Perkhidmatan Veterinar di Seremban.
Antara syarat tambahan lain adalah setiap premis perniagaan hanya diluluskan satu jenis perniagaan dan pemilik lesen atau wakil warga tempatan perlu berada di premis sepanjang operasi perniagaan.
Warga asing juga tidak dibenarkan bertugas di kaunter kewangan, pengambilan pekerja asing maksimum dua orang yang diluluskan permit bekerja di sektor peruncitan dan perdagangan bagi setiap premis.
Pemilik lesen juga perlu mengemaskini senarai daftar pekerja warga asing.
Beliau turut memaklumkan lesen perniagaan yang tidak dibenarkan menggaji warga asing seperti pusat siber, pasar malam, bazar Ramadan, pasar tani, ekspo, dan kiosk.
Jika berlaku pelanggaran syarat, lesen perniagaan boleh dibatalkan tanpa sebarang notis, rayuan dan akan disenarai hitam dalam tempoh setahun.