fb fb fb fb fb

Bekalan gula terjejas disebabkan masalah logistik, bukan tiada bekalan - S. Jegan

S. Jegan di salah sebuah pasaraya pada program pelancaran pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini

BUKIT MERTAJAM, 9 November - Laporan bekalan gula habis seperti yang berlaku di sekitar Bukit Mertajam semalam adalah disebabkan masalah logistik, bukannya kerana ketiadaan bekalan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S. Jegan berkata, ia berpunca daripada kelewatan penghantaran yang disebabkan masalah lori.

Bagaimanapun bekalan gula tiba lewat petang semalam dan tidak timbul isu tiada bekalan gula.

Beliau turut menasihatkan penduduk sekitar supaya tidak membuat pembelian panik kerana bekalan gula di Pulau Pinang sentiasa mencukupi.

"Ada asas dengan aduan tersebut tetapi apabila kita siasat ia bukannya menjadi isu bekalan atau disebabkan kelewatan penghantaran di mana pemborong yang sama hantar kepada semua pasaraya. Kita harap isu ini selesai sebab ada lagi jadual gula akan dihantar lagi pada hari ini.

Kita mohon kerjasama jika ada aduan seperti ini untuk hubungi pihak KPDN dan pihak kami akan cuba bantu mana-mana peruncit yang menghadapi kekangan bekalan ini," kata S. Jegan dalam sidang media selepas melancarkan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 peringkat Pulau Pinang di sini.

SHMMP yang dilaksanakan selama tujuh hari itu melibatkan lapan jenis barang kawalan; antaranya daging kambing biri-biru bertulang import, kelapa biji, kelapa parut,cili merah, tomato, dan kacang dal.

Sementara itu, bermula 1 Januari hingga semalam sebanyak 44,674 premis telah diperiksa di seluruh negeri dan 744 diambil tindakan atas pelbagai kesalahan membabitkan sitaan berjumlah RM3.12 juta dan kompaun sebanyak RM607,900.

"Dalam tempoh sama juga, sebanyak 2,023 aduan telah diterima dan 384 daripada membabitkan harga barangan dan perkhidmatan, 131 bekalan barang kawalan dan selebihnya lain-lain aduan," katanya dan menambah 355 Jualan Rahmah diadakan di 13 Parlimen dan 40 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini yang menarik 364,440 pengunjung dengan nilai jualan telah mencecah RM11.8 juta setakat ini.

TETITIA YUSOFF