IPOH, 9 November - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak tidak menerima laporan berkaitan harga ayam di pasaran susulan penamatan subsidi dan kawalan harga kerajaan.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata setakat ini berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati harga ayam di negeri itu, terkawal.
Bagaimanapun pemantauan masih dijalankan dari semasa ke semasa oleh pegawai pemantau harga KPDN.
"Pegawai pemantau harga ini setiap masa pergi ke pasar dan pasaraya , kita akan buat laporan kita dan cek, jika tinggi atau tidak munasabah kita akan periksa dan ambil tindakan, jika betul-betul dia melanggar peraturan, harga tidak munasabah, kita boleh ambil tindakan," kata Kamalludin selepas mengadakan sesi Walkabout Pemantauan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 dan Penyampaian Sumbangan Bakul Rahmah Peringkat Negeri di Klebang, di sini.
Dalam perkembangan lain beliau memaklumkan, Program Jualan Rahmah yang digerakkan KPDN telah dilaksanakan di 310 lokasi seluruh Perak setakat hari ini.
Ia melibatkan kesemua 24 kawasan parlimen dan 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan memanfaatkan kepada lebih 420,000 pengguna dengan nilai jualan dicatatkan melebihi RM8.5 juta.
Beliau ditemui selepas mengadakan sesi Walkabout Pemantauan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 dan Penyampaian Sumbangan Bakul Rahmah Peringkat Negeri di Klebang, Ipoh.
Dalam pada itu, Kamalludin memaklumkan seramai 175 pegawai penguat kuasa digerakkan sempena pelaksanaan SHMMP Deepavali 2023.
70 pegawai pemantau harga di seluruh negeri turut digerakkan sepanjang tempoh perayaan tersebut.
Jelas beliau, kesemua mereka ditugaskan sepanjang tujuh hari pelaksanaan SHMMP di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli belah.
"Kalau kita lihat, contohnya hari raya lepas, didapati di negeri Perak ini keadaan terkawal maknanya peniaga-peniaga mematuhi skim harga maksimum, saya harap untuk perayaan Deepavali pun sama, tiada kes yang melanggar peraturan kita tetapkan," katanya.
Tambahnya, peniaga diingatkan mematuhi harga kawalan yang ditetapkan dengan menggunakan label tanda harga berwarna merah jambu bagi lapan jenis barangan terpilih.