fb fb fb fb fb

Peniaga kecewa, perhimpunan pembangkang jejas hasil jualan

Peniaga yang ditemui RTM di ibu kota pada perhimpunan yang dianjurkan oleh pembangkang hari ini

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Para peniaga di sekitar Masjid Jamek dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) meluahkan rasa kecewa apabila perhimpunan yang dianjurkan oleh pembangkang hari ini dipercayai menjejaskan operasi serta hasil jualan mereka.

Rata-rata peniaga yang ditemui RTM di sekitar lokasi perhimpunan hari ini mengharapkan ada penyelesaian jangka panjang supaya perniagaan mereka tidak terjejas setiap kali demonstrasi di adakan di kawasan tumpuan awam.

Seorang peniaga, Mohd Zailan Mokhtar berkata, penutupan jalan utama ke arah Masjid India dan Jalan TAR oleh pihak berkuasa menyukarkan kemasukan pengunjung termasuk pelancong.

“Saya sebagai peniaga rasa terjejas hari ini sebab jalan dari luar Kuala Lumpur ke arah Masjid India dan Jalan TAR ditutup. Ramai pelancong hadapi kesukaran nak masuk dan bersantai di sini. Perkara ini dah selalu sangat terjadi,” katanya yang sudah terbiasa dengan keadaan itu setiap kali adanya perhimpunan di ibu kota.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong Tuanku Abdul Rahman, Azkhalim Suradi berkata, ramai peniaga pasar malam sukar untuk berniaga sejak awal pagi berikutan kesesakan dan halangan jalan.

“Dari semalam dalam kumpulan WhatsApp peniaga sudah bising tanya macam mana nak datang ke pasar malam hari ini.

"Ramai yang masih terkandas dalam perjalanan kerana tak pasti sama ada jalan ditutup sepenuhnya atau hanya sekadar pemeriksaan kereta,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Haizureen Hairuddin berkata, situasi itu menyusahkan ramai pihak kerana peniaga sudah bersiap seawal pagi untuk berniaga dan mengganggu kelancaran perjalanan pengunjung.

“Apa yang berlaku hari ini memang menyusahkan, kami mula berniaga pukul 12 tengah hari, jadi sebelum itu orang akan susun barang pukul 10 pagi. Tapi bila jadi macam ini, ada yang sudah datang seawal sebelum subuh. Sebab bimbang dengan sekatan jalan raya. 

"Kesian pada peniaga makanan kerana ada peniaga terpaksa menyediakan makanan awal pagi, ada yang terpaksa buang makanan sebab basi,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN