fb fb fb fb fb

Peniaga dibenar beli 10 kampit beras berkuat kuasa awal bulan ini

SHAH ALAM, 21 September- Peniaga hanya dibenarkan beli 10 kampit beras tempatan di pasar raya besar, berkuat kuasa awal bulan ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu diambil, bagi memastikan bekalan beras mencukupi di seluruh negara.

Manakala beras import pula, dijual pada harga borong.

"Pada pemilik restoran, pihak pemborong telah berbincang dengan mereka.

"Kementerian juga campur tangan supaya mereka membeli beras import dengan harga borong supaya mereka kurang membeli beras tempatan kerana beras tempatan ini kalau berkeadaan biasa seperti ketika ini, ia mencukupi melainkan kalau restoran-restoran besar mengubah untuk membeli beras tempatan secara banyak, maka kekurangan akan berlaku sekejap beras tempatan ini", katanya.


(Datuk Seri Mohamad Sabu meninjau bekalan beras putih tempatan (BPT)
di Agrobazaar Jalan Kebun, Kota Raja, Selangor)

Beliau berkata demikian kepada media selepas Lawatan Kerja Pelan Intervensi Pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT).

Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengadakan perbincangan dengan pemborong dan pengilang bagi menambah stok beras putih tempatan ke cawangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Beliau berkata ia bagi mengelakkan kekecohan di Kuala Pilah dan Bagan Datok semalam berulang.

"FAMA DAN LPP hanya intervensi. Saya sebut seperti telur dan ayam dahulu. Mana yang berlaku kekurangan di mana tempat, mereka cuba untuk menghantar dan cuba mengatasinya. Mungkin tidak sempurna tapi cuba dibuat kepada 35 tempat yang dibuat oleh pihak FAMA", katanya.

Jelasnya, kekecohan semalam berlaku kerana stok beras yang sampai di cawangan tersebut tidak mencukupi dan menimbulkan tidak puas hati pelanggan yang menunggu lama.

Beliau juga menasihatkan orang ramai membeli beras mengikut keperluan dan tidak menyimpan stok.

Media Baharu