KOTA BHARU, 29 Januari- Isu kekurangan bekalan telur ayam dalam pasaran meresahkan peniaga makanan di seluruh negara.
Antara yang terkesan ialah pengusaha kuih tradisional 'akok salor', Mohd Rosmizi Mohd Ghazali.
Mohd Rosmizi mengakui, isu tersebut amat menggangu operasi perniagaan yang telah diusahakan keluarganya sejak 40 tahun lalu.
"Sejak berdepan masalah tersebut penghujung tahun lalu, penghasilan 'akok salor' amat terhad berikutan kekurangan bahan selain terpaksa menutup perniagaan di luar pada waktu kebiasaan.
Kini kami hanya mampu menghasilkan sekitar 2,000 biji 'akok salor' sehari berbanding jumlah yang jauh lebih banyak sebelum ini," katanya ketika ditemui RTM.
(Mohd Rosmizi Mohd Ghazali, Peniaga 'akok salor')
Tambahnya, bekalan telur yang diperoleh ketika ini bergantung sepenuhnya kepada jumlah ditetapkan oleh pembekal.
Namun Mohd Rosmizi memaklumkan, dia tidak berhasrat untuk mengurangkan penggunaan bahan pembuatan bagi menjaga kualti serta rasa 'akok salor' yang dihasilkan.
"Saya bimbang jika isu ini berlarutan, ia akan terus memberi kesan kepada perniagaan terutama menjelang bulan Ramadan yang bakal disambut umat Islam tidak lama lagi.
Ini kerana pada kebiasaan, permintaan untuk mendapatkan kuih tradisional itu akan meningkat berkali ganda bukan hanya daripada kalangan pelanggan tempatan malah luar Kelantan," ujarnya lagi.