fb fb fb fb fb

Pengurus syarikat didakwa beri suapan RM3,000

JOHOR BAHRU, 24 Julai- Seorang pengurus sebuah syarikat daging sejuk beku mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas pertuduhan memberikan suapan bernilai RM3,000 kepada pegawai kerajaan, Februari lalu.

Pengakuan dibuat Ma Jian Yet, 31 tahun dihadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail selepas pertuduhan dibacakan.


(Ma Jian Yet,  didakwa memberi suapan RM3,000 kepada Ketua Penguatkuasaan di Johor Bahru)

Mengikut kertas pertuduhan, Jian Yet dituduh memberikan suapan tersebut kepada Ketua Penguatkuasaan di pejabat penguatkuasaan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, pada 28 Februari lalu.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas syarikatnya yang menjalankan perniagaan tanpa lesen dan gagal mematuhi notis memberhentikan aktiviti menjaja serta meniaga MBIP.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Hakim menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, manakala 28 Julai sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Dayang Masneh Deh, sementara tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien.

Media Baharu