KUALA LUMPUR, 24 Julai - Pengumuman penghargaan kepada rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai langkah tepat dalam usaha meringankan beban rakyat ketika ekonomi negara berdepan tekanan global.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mustazar Mansur berkata, pendekatan tersebut dilaksanakan pada masa yang sesuai dengan mengambil kira ketidaktentuan geopolitik dunia.
“Ketika ini, ekonomi sedang tertekan akibat ketidakstabilan geopolitik di luar negara, dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS), serta perang perdagangan antara AS dan China. Semua ini mendorong kepada inflasi import dan inflasi tolakan kos dalam negara,” katanya ketika dihubungi RTM.
Tambah beliau, inisiatif itu juga dijangka dapat merangsang penggunaan domestik dan pelaburan dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Sekali gus menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta membantu mengekang tekanan luaran terhadap ekonomi negara.
Mengulas mengenai peningkatan peruntukan program Jualan Rahmah sebanyak RM600 juta, beliau menyifatkan langkah itu sebagai satu strategi ekonomi yang mampu mewujudkan persaingan sihat dalam pasaran.
“Dengan peluasan Jualan Rahmah, rakyat akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk mendapatkan barangan asas yang berkualiti pada harga yang mampu milik.
“Dalam masa yang sama, ia memberi tekanan kepada peniaga lain untuk turut menawarkan harga yang lebih kompetitif. Ini secara tidak langsung dapat membantu menurunkan harga pasaran terbuka dan memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau turut berpandangan bahawa penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter merupakan satu lagi langkah signifikan dalam membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Ini terutamanya kepada individu yang terlibat dalam sektor e-hailing dan yang bergantung kepada kenderaan sendiri untuk bekerja.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisiatif penghargaan untuk rakyat termasuk pemberian tunai sekali beri di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100.
Selain itu, peningkatan peruntukan Jualan Rahmah sebanyak RM600 juta serta penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter menjelang akhir September ini.