fb fb fb fb fb

KPDN sasar 20,000 Jualan Rahmah MADANI tahun ini

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali/ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 24 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan pelaksanaan 20,000 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di seluruh negara, susulan penambahan peruntukan RM300 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam bagi memperkasa pelaksanaan PJRM tahun ini.

Menteri berkenaan, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata inisiatif ini meliputi 222 kawasan Parlimen, lebih 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), dan 40 zon di Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, tiga elemen utama penambahbaikan akan dilaksanakan dalam PJRM ialah penambahan kekerapan jualan di semua kawasan Parlimen dan DUN, pertambahan jenis barangan keperluan asas (SKU) mengikut keperluan tempatan dan musim perayaan, peluasan penglibatan rakan strategik melalui PJRM Bergerak di dalam dan luar premis.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat tapak PJRM di Bangunan KPDN Putrajaya, hari ini.

Menurut beliau, selain disubsidi kerajaan, PJRM turut disokong sektor peruncitan yang menawarkan diskaun tambahan, memberikan nilai lebih kepada pengguna.

KPDN juga menyediakan takwim lengkap PJRM mengikut kawasan DUN yang boleh diakses di laman web rasmi kementerian, dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Program Jualan Rahmah MADANI merupakan usaha kerajaan meringankan beban rakyat berpendapatan rendah dan sederhana dengan menyediakan barangan asas pada harga lebih rendah.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI