KUALA LUMPUR, 24 Julai - Penjawat awam dilarang melibatkan diri dalam aktiviti politik dan mengekalkan kedudukan berkecuali dalam mana-mana parti.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz memaklumkan, ia termasuk tidak memakai lambang, memegang jawatan politik atau menjalankan kempen kecuali dengan kebenaran dalam kes-kes tertentu.
"Perkhidmatan awam sepatutnya bersifat profesional, adil dan tidak berpihak selaras dengan prinsip 'neutrality' (berkecuali) dan 'impartiality' (kesaksamaan) untuk memastikan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam menjadi tulang belakang dalam pentadbiran negara," katanya menerusi satu surat edaran di sini, hari ini.
Penjawat awam juga diingatkan, sebarang pelanggaran terhadap tatakelakuan boleh dikenakan tindakan tatatertib bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Mereka boleh dikenakan hukuman amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau buang kerja, bergantung pada tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan.
Selain larangan aktiviti politik, penjawat awam dituntut supaya menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, kepada Malaysia sebagai negara berdaulat, dan kepada kerajaan.
Penjawat awam dituntut bertugas dengan jujur, cekap, bertanggungjawab, mematuhi arahan serta mengelakkan sebarang salah laku, termasuk penyalahgunaan kuasa, konflik kepentingan dan tindakan yang boleh mencemarkan imej perkhidmatan awam.
"Semua pegawai awam telah menandatangani Surat Aku Janji sebagaimana diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012.
"Aku janji ini adalah satu komitmen bertulis oleh pegawai awam untuk mematuhi peraturan dan arahan kerajaan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka," menurut surat berkenaan.
Selain itu, penjawat awam juga dilarang membuat pernyataan awam tanpa kebenaran seperti menyebarkan maklumat palsu, berunsur fitnah, provokasi atau tidak disahkan kebenarannya, menerbitkan artikel atau menyebarkan maklumat secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.
Ia termasuk hal berkaitan dengan dasar kerajaan, maklumat dalaman jabatan atau isu yang boleh menimbulkan keraguan atau persepsi negatif terhadap kewibawaan perkhidmatan awam.
"Sebarang kenyataan awam yang positif hanya boleh dibuat dengan kebenaran bertulis daripada menteri," tambahnya lagi.