KUALA LUMPUR, 23 Julai – Susulan pengumuman penghargaan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakyat menyambut baik inisiatif tersebut yang disifatkan sebagai cerminan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kesejahteraan rakyat.
Antaranya, bantuan tunai RM100 secara sekali beri (one-off) itu membantu meringankan beban kos sara hidup.
Bagi penjawat awam, Siti Aisyah Ngadirin, inisiatif ini disifatkan sangat relevan dan memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.
“Ini satu inisiatif yang baik, terutamanya untuk rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan. Bagi sesetengah golongan, jumlah itu sudah cukup besar dan sangat membantu, terutamanya dalam membeli barangan keperluan asas,” jelasnya.
Manakala, bagi Muhamad Fadhul Mohd Pua'at Zuzaki, pelajar lepasan siswazah di sebuah universiti tempatan, bantuan tersebut amat bermakna bagi mereka yang menanggung beban belajar dan bekerja dalam masa yang sama.
“Pertama sekali, terima kasih kepada Perdana Menteri kerana melaksanakan inisiatif seperti ini. Bagi saya, ia sangat membantu saya yang bekerja sambil belajar, dan bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban saya,” katanya.
Sementara itu, Noriah Fakimin, seorang peniaga kecil-kecilan, menyifatkan bantuan tersebut mampu merangsang perbelanjaan rakyat sekaligus menyokong peniaga kecil seperti beliau.
“Syukur, dengan izin Tuhan, kerajaan beri bantuan kepada rakyat. In shaa Allah, dengan bantuan ini, perniagaan makcik akan berkembang. Alhamdulillah. Baguslah Perdana Menteri kita, Anwar Ibrahim,” katanya dengan nada sebak.
Sementara itu, penurunan harga minyak RON95 kepada RM1.99 seliter dan penangguhan kenaikan kadar tol, turut memberikan kelegaan kepada pengguna, terutama yang menggunakan kenderaan setiap hari.
Penjawat awam, Ang Kean Hua, berkata ia memberikan penjimatan ketara dalam perbelanjaan mingguannya.
“Bagi kereta saya, saya biasanya belanja sekitar RM50 seminggu untuk minyak. Kalau harga turun, saya boleh jimat sehingga RM30 seminggu. Ia memang sangat membantu,” ujarnya.
Turut senada, pelajar universiti awam, Muhamad Saiffudin Mohd Tajudin, melihat penurunan ia bukan sahaja menjimatkan penggunaan duit belanja, malah memberi peluang untuk menyimpan bagi keperluan pengajian.
“Bila harga minyak turun, bukan sahaja boleh berjimat, tapi juga bantu simpan duit. Saya boleh kumpul untuk beli barangan belajar. Memang banyak membantu, terutamanya bagi orang yang susah,” katanya.