IPOH, 23 Julai - Lebih RM31 juta nilai rampasan direkodkan dalam satu operasi bersepadu Op Hazard ke atas sebuah kilang haram yang dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan sisa elektronik atau e-waste secara tidak sah di Parit, Perak.
Kilang berkenaan dikesan beroperasi di dalam kawasan ladang kelapa sawit, dipercayai bagi mengaburi kegiatan haram daripada pengetahuan pihak berkuasa.
Operasi khas itu diketuai Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara menerusi elemen Risik dan Task Force Batalion 3, dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar, Majlis Daerah Perak Tengah serta Pejabat Daerah dan Tanah Seri Iskandar.
Menurut Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, SAC Shahrum Hashim, hasil pemeriksaan menemui 81 bongkah mampat e-waste seberat lebih 105 tan yang dipercayai belum diproses dan sebuah lori treler sarat dengan bahan buangan berkenaan.
Rampasan lain melibatkan 5000 kilogram arang batu, pelbagai mesin dan peralatan pemprosesan, dua kenderaan pacuan empat roda serta sebuah bangunan kilang bersaiz 8400 kaki persegi yang dijadikan pusat operasi.
Tiga lelaki tempatan berusia antara 36 hingga 70 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut beberapa peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, termasuk Seksyen 18, 19, 34A dan 34B serta tindakan di bawah Akta Peniaga Sekendhend 1946 dan Kanun Tanah Negara.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan individu atau sindiket yang menjalankan aktiviti pemprosesan sisa e-waste tanpa lesen dan permit yang sah mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, khususnya sekitar Perak.
PGA Briged Utara dalam kenyataannya menegaskan, tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang, khususnya membabitkan pemprosesan e-waste haram.
Op Hazard: RM31 juta nilai rampasan aktiviti e-waste secara tidak sah direkodkan
