KEPALA BATAS, 23 Julai - Sebanyak RM13.5 juta diperuntuk Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sejak 2020 bagi membina dan membaik pulih 293 buah rumah di seluruh negara.
Terkini, enam keluarga asnaf di Pulau Pinang turut merasai manfaatnya menerusi Program Sinar Lestari dengan tiga rumah dibina baharu dan tiga lagi dibaik pulih.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, daripada itu, 225 telah siap sepenuhnya, manakala 68 lagi masih dalam pembinaan.
Di Pulau Pinang sahaja, sembilan projek telah dijalankan, lima dibina baharu dan empat dibaik pulih dengan jumlah keseluruhan peruntukan mencecah RM460 ribu.
YAPIEM bertanggungjawab dalam membina, membaik pulih dan menyerahkan rumah kepada golongan yang memerlukan. Semua inisiatif ini dilaksanakan melalui Tabung Pembangunan YaPIEM, yang merupakan hasil sumbangan orang awam.
"Semakin ramai masyarakat menyumbang ke dalam tabung ini, semakin banyak bantuan dapat disalurkan oleh YaPIEM dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Pejabat Pembangunan Negeri.
"Usaha ini menyasarkan golongan asnaf dan mereka yang tinggal di rumah daif yang tidak sesuai untuk didiami oleh sebuah keluarga," katanya selepas majlis serahan rumah program Sinar Lestari Yapeim di Pasir Gebu, Penaga, Kepala Batas, pagi tadi.
Tiga daripadanya menerima bantuan pembinaan rumah baharu bernilai RM80 ribu setiap satu, manakala tiga lagi menerima bantuan baik pulih rumah dengan peruntukan antara RM20 ribu hingga RM30 ribu.
Dalam pada itu, seorang penerima bagi bantuan bina baharu, Tahir Suhid, 55 tahun dari Jalan Pasir Gebu, Penaga menyifatkan bantuan tersebut sebagai rahmat besar buat keluarganya.
"Saya berasa amat bangga, gembira dan sangat bersyukur kepada Allah SWT. Tanah lot ini pun saya beli hasil usaha sendiri, bayar ansuran bulanan sedikit demi sedikit. Sebelum ini, memang saya tidak ada tanah sendiri. Sudah lebih 20 tahun saya menyewa sejak saya masih bekerja dulu. Hampir 15 tahun saya menyewa dan dua tahun kebelakangan ini saya tidak ke laut.
"Sekarang saya hanya berniaga kecil-kecilan di depan rumah untuk sara keluarga bersam lima orang anak, yang sulung berumur 25 tahun dan yang paling bongsu baru 6 tahun," katanya.
Program Sinar Lestari yang dilancar pada tahun 2020 merupakan salah satu inisiatif kemasyarakatan YAPEIM, dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, ICU JPM dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri.