fb fb fb fb fb

KESUMA sambut baik cuti tambahan sempena Hari Malaysia 2025

KESUMA sambut baik cuti tambahan sempena Hari Malaysia 2025 / Foto PMO

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyambut baik pengisytiharan 15 September 2025 (Isnin) sebagai cuti kelepasan am tambahan sempena sambutan Hari Malaysia, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menyifatkan pengumuman tersebut sebagai khabar gembira buat seluruh rakyat, khususnya para pekerja sektor awam dan swasta.

“Cuti panjang ini bukan sahaja memberi peluang kepada rakyat untuk beristirahat dan meningkatkan kesejahteraan hidup, malah merancakkan aktiviti ekonomi tempatan melalui pergerakan domestik,” katanya menerusi kenyataan.

Sim turut menegaskan pelaksanaan cuti kelepasan am tambahan itu adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Akta Kerja 1955 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak dan Akta Hari Kelepasan 1951.

Menurut Sim, majikan mempunyai tiga pilihan dalam menguruskan cuti tersebut, iaitu memberikan cuti dengan bayaran gaji biasa, mengarahkan pekerja hadir bekerja dengan kadar bayaran hari kelepasan dan menggantikan cuti pada hari lain sekiranya pekerja dikehendaki bekerja pada hari tersebut.

“Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di seluruh negara bersedia memberi panduan serta khidmat nasihat kepada majikan dan pekerja berkaitan pelaksanaan cuti ini,” tambahnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN