fb fb fb fb fb

Penglibatan wanita, pemangkin pertumbuhan positif ASEAN

Pengasas dan Pengerusi Yayasan Kepimpinan Wanita, Datuk Hafsah Hashim

KUALA LUMPUR, 27 Mei- Pemerkasaan wanita dilihat sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan mampan dan integrasi ekonomi ASEAN.

Pengasas dan Pengerusi Yayasan Kepimpinan Wanita, Datuk Hafsah Hashim menjelaskan bahawa pemerkasaan tersebut menjurus kepada kebebasan kewangan yang membolehkan suara dan kepimpinan mereka lebih dihormati dalam pembentukan dasar serta keputusan penting negara.

"Statistik menunjukkan bahawa penglibatan wanita secara aktif dalam ekonomi boleh menyumbang kepada peningkatan sehingga 8.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bersamaan nilai kira-kira AS$50 bilion," kata Datuk Hafsah kepada pemberita, hari ini selepas menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia, di sini.

Beliau mengulas lanjut, peranan Yayasan Kepimpinan Wanita mengiktiraf golongan itu sebagai pemimpin selain merupakan satu inisiatif strategik untuk merapatkan jurang jantina.

Tambahnya, wanita yang diberi peluang memimpin bukan sahaja membawa perspektif segar, malah telah terbukti menyumbang kepada peningkatan prestasi syarikat dan ekonomi negara secara keseluruhan.

“Program Yayasan memfokuskan kepada pembangunan wanita sebagai pembuat dasar, pengurus ekonomi, dan pemimpin digital tiga tonggak utama transformasi ekonomi ASEAN yang mampan," tambah Datuk Hafsah.

Beliau turut menyeru agar sektor awam dan swasta berganding bahu dalam mengenal pasti, membangunkan dan mengetengahkan bakat kepimpinan wanita demi masa depan ekonomi yang lebih inklusif dan lestari.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM