fb fb fb fb fb

Neutraliti aktif ASEAN penting tangani ketegangan geopolitik

Dr. Amer Fawwaz Mohamad Yasid / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Pendekatan berkecuali yang diamalkan oleh negara-negara ASEAN dilihat sebagai pilihan terbaik dalam menghadapi cabaran ketegangan geopolitik serantau yang semakin meruncing.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Amer Fawwaz Mohamad Yasid berpandangan prinsip berkecuali tersebut wajar dikekalkan namun perlu dilaksanakan secara aktif.

“Neutraliti tidak boleh bersifat pasif. Sebaliknya, ASEAN perlu memainkan peranan aktif sebagai penimbang tara yang adil demi menjamin kestabilan strategik di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media, di sini.

Menurut beliau, konflik yang berlaku di luar kawasan ASEAN juga mampu memberikan kesan tidak langsung kepada negara-negara di rantau ini.

“Contohnya, sekiranya berlaku peperangan seperti konflik di Ukraine dan Rusia atau ketegangan antara India dan Pakistan, ia tetap akan memberi tempias kepada ASEAN. Jika konflik ini tidak dikawal, ia boleh mencetuskan ketegangan diplomatik yang berlarutan dan akhirnya membawa kepada peperangan serta kekacauan,” ujarnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN