PUTRAJAYA, 27 Mei- ASEAN disaran untuk memperkukuh kerjasama dalam tadbir urus serantau bagi menghadapi cabaran global yang semakin kompleks termasuk ketidaktentuan rantaian bekalan, penjajaran semula perdagangan serta persaingan kuasa besar dunia.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan bahawa cabaran-cabaran tersebut bukan lagi bersifat jangka panjang, malah sudah mula memberi kesan nyata terhadap harga makanan, projek infrastruktur dan juga pasaran buruh di rantau ini.
Ucapan perasmian beliau disampaikan oleh Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam Majlis Pembukaan Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
"Bagi ASEAN, cabaran-cabaran ini menjadi lebih rumit disebabkan oleh kepelbagaian dalam ekonomi, keupayaan dan sistem tadbir urus kita. Namun, inilah juga kekuatan kita. Keupayaan kita untuk menyesuaikan diri, bekerjasama dan menegakkan prinsip bersama seperti ketelusan, kebertanggungjawaban dan keterangkuman akan menentukan masa depan rantau kita,” katanya.
Belia juga menekankan bahawa konsep tadbir urus pada masa kini tidak lagi hanya berkisar soal kawalan, tetapi perlu berperanan membina kepercayaan dalam kalangan rakyat ASEAN yang semakin celik maklumat dan menuntut tahap integriti lebih tinggi daripada institusi awam.
Menurut beliau, usaha pembaharuan perkhidmatan awam Malaysia kini digerakkan melalui pendekatan yang menyeluruh, berasaskan lima teras utama iaitu nilai dan tadbir urus, pembangunan modal insan, pengukuhan organisasi, peningkatan penyampaian perkhidmatan serta kerjasama strategik sektor awam dan swasta.
Sementara itu, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama rentas negara dalam sektor awam ASEAN, bagi mencapai nilai secara kolektif.
Selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Jabatan Audit Negara menganjurkan Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 selama dua hari bermula hari ini.
Persidangan yang julung kali diadakan itu menghimpunkan lebih 2,200 peserta dari pelbagai negara serantau dan antarabangsa termasuk Ketua Institusi Audit Tertinggi (SAI) dari negara-negara seperti Brunei, Filipina, Kemboja, Laos, Maldives dan Yaman.