fb fb fb fb fb

Teliti mekanisme keselamatan dalam talian, termasuk pengesahan identiti - Datuk Fahmi

Foto Facebook Kementerian Komunikasi

PUTRAJAYA, 27 Mei - Teliti langkah atau mekanisme yang sesuai termasuk menyahaktifkan akaun media sosial kanak-kanak berusia 13 tahun ke bawah, bagi mengelakkan kanak-kanak bawah umur terdedah kepada anasir negatif di platform media sosial.

Itu saranan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, susulan kes perkongsian mesej lucah melibatkan pempengaruh media sosial dengan kanak-kanak bawah umur baru-baru ini.

"Ini perkara yang sedang berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Dan saya sangat-sangat risau anak-anak kecil yang mungkin tidak tahu, tidak faham penggunaan media sosial. Mereka memandang tinggi kepada pempengaruh, tapi seolah-olah pempengaruh ini ada yang mungkin didakwa mengambil kesempatan. Ini perkara yang sangat-sangat saya kesali."

Datuk Fahmi menjelaskan, penelitian perlu mengambilkira aspek pengesanan identiti serta usia pengguna platform berkenaan.

"Sebenarnya, bagi WhatsApp, larangannya adalah kepada pengguna berumur 16 tahun ke bawah."

"Ini tidak dibenarkan. Jadi, itu antara sebab kenapa kanak-kanak bawah usia 16 tahun. Sebenarnya, WhatsApp sendiri yang melarang, bukan Kerajaan. Tapi saya lihat, platform seperti WhatsApp gagal untuk menjamin pengguna mereka adalah 16 tahun ke atas."

"Jadi, di sini kita akan teliti beberapa langkah yang mungkin perlu kita ambil untuk aktiviti varifikasi ataupun pengesahan identiti. Ini untuk mengelak daripada kanak-kanak terutamanya menjadi mangsa kepada pemangsa seksual."

Beliau juga menyeru ibu bapa supaya memastikan akaun media sosial anak masing-masing di bawah usia 13 tahun dinyahaktifkan.

"Saya minta supaya kita teliti. Kita mulakan dalam kalangan warga Kementerian Komunikasi. Sekiranya warga Kementerian Komunikasi ada anak-anak yang bawah usia 13 tahun yang memiliki akaun media sosial, saya minta supaya dinasihatkan kepada ibu bapa untuk meminta anak-anak mereka menyahaktifkan akaun media sosial."

"Saya risau kerana apa yang berlaku baru-baru ini seorang pempengaruh telah berhubung dengan seorang kanak-kanak 14 tahun dengan mesej lucah."

Datuk Fahmi ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Mei 2025.

Beliau turut merasmikan nama baharu bangunan Kementerian Komunikasi yang telah dipinda daripada Kompleks Kementerian Komunikasi kepada Menara Komunikasi sebagai simbol keterhubungan, kekuatan teknologi dan aspirasi bangsa menuju kemajuan dalam bidang komunikasi.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI