fb fb fb fb fb

Penglibatan koperasi, mudahkan rakyat dapat bekalan keperluan asas lebih murah - Annuar

KUALA LUMPUR, 21 Julai- Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi menyokong penglibatan gerakan koperasi bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan barangan dengan harga lebih murah.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata tempoh seminggu diberikan kepada kementerian dan agensi terlibat untuk memberi maklum balas berhubung perkara berkenaan.

Katanya, gerakan koperasi mempunyai kapasiti mendapatkan bekalan barangan, selain bertindak sebagai pengimport, pembungkus dan pengedar.

Ini melibatkan barangan kawalan antaranya minyak masak, ayam dan gula.

"Jawatankuasa ini menyokong untuk membuka ruang kepada penyertaan gerakan koperasi bagi terlibat dalam pengedaran beberapa barangan keperluan tertentu dengan janji suruhanjaya, mereka akan membantu untuk membolehkan barang itu dijual beberapa peratus lebih murah daripada harga sekarang. Ini merupakan inisiatif kedua yang besar selepas daripada Program Jualan Keluarga Malaysia," kata Annuar menjelaskannya dalam sidang media di Parlimen selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.


(FOTO BERNAMA)

Sementara itu, Program Jualan Keluarga Malaysia akan terus diperluas sehingga ke 639 kawasan yang akan berlangsung serentak bermula pertengahan Ogos sehingga hujung tahun ini.

Inisiatif itu juga bakal dilaksanakan setiap minggu di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memudahkan rakyat untuk mendapat akses barangan keperluan dengan harga yang lebih murah.

Menurut Tan Sri Annuar Musa, pelaksanaan program itu akan melibatkan pemimpin dan peniaga tempatan dengan kerjasama lima kementerian.

"Kalau dulu, di satu kawasan parlimen hanya dua kali sahaja dalam masa sebulan tetapi kali ini setiap minggu di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang merupakan pertambahan 500% dari segi kekerapannya," tambah Annuar.

Tambah beliau, lima kementerian yang terlibat akan mengambil tindakan segera berdasarkan garis panduan di samping pemantauan dan pengawalan harga daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Media Baharu