KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Pengiktirafan antarabangsa terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh Muslim paling berpengaruh ke-10 dunia edisi 2026 dalam buku 'The World’s 500 Most Influential Muslims' terbitan 'The Royal Islamic Strategic Studies Centre' (RISSC) adalah satu pencapaian besar dan penghormatan buat negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata pengiktirafan itu menjadi bukti pencapaian, pendirian dan sumbangan Perdana Menteri mengemudi kepemimpinan negara serta menangani isu-isu kepentingan masyarakat antarabangsa berasaskan prinsip sentraliti, sederhana, seimbang dan berhikmah.
"Ia menunjukkan penerimaan global terutama di dunia Islam terhadap kepimpinan Perdana Menteri mempelopori konsep pembangunan negara dan tamadun berteraskan nilai keadilan, kemanusiaan dan kesejahteraan sejagat berpandukan kerangka MADANI," kata beliau dalam satu kenyataan.
Pendirian beliau yang lantang memperjuangkan isu keadilan buat rakyat Palestin, serta peranan Malaysia sebagai pengantara keamanan di rantau Asia Tenggara seperti antara Thailand dengan Kemboja, jelas memperkukuh imej Malaysia sebagai contoh negara Islam yang konstruktif dan berprinsip dalam mempertahankan nilai kemanusiaan sejagat.
"Seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan akan terus menyokong penuh dasar serta visi kepimpinan beliau dalam mengangkat martabat Islam sebagai agama yang membawa kesejahteraan, memupuk perpaduan, serta memperkukuh kedudukan Malaysia di persada dunia," menurut kenyataan tersebut.
Kejayaan itu juga menjadi cerminan kepada kekuatan moral dan akhlak kepimpinan Perdana Menteri, yang mendukung nilai Islam sebagai asas tadbir urus negara berteraskan ihsan, amanah dan kasih sayang kepada seluruh umat manusia.