fb fb fb fb fb

Festival Kenyir Geopark 2025 dijangka raih jualan lebih RM1 Juta

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang meninjau barangan yang dijual di kedai zon bebas cukai pada perasmian Festival Kenyir Geopark 2025 di Pulau Poh, Tasik Kenyir./BERNAMA

HULU TERENGGANU, 30 Oktober – Lebih 60,000 pengunjung disasar hadir ke Festival Kenyir Geopark 2025 di Pulau Poh dengan nilai jualan dijangka melebihi RM1.2 juta.
 
Festival anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu itu menghimpunkan 112 usahawan desa bagi mempromosikan produk berasaskan alam semula jadi, warisan, kraftangan dan gastronomi tempatan.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata penganjuran festival seumpama itu mampu memperkukuh sektor eko pelancongan serta menjana ekonomi komuniti luar bandar.
 
Menurutnya, Tasik Kenyir pernah mencatat lebih 800,000 pelawat sebelum pandemik COVID-19, dan kini kembali menunjukkan peningkatan ketara sejak tahun 2023 hasil pelbagai inisiatif promosi serta penambahbaikan kemudahan.

“Festival Kenyir Geopark 2025 ini kita adakan bagi memperkukuh kedudukan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan luar bandar, selain menjadi manifestasi kepada persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya selepas merasmikan festival yang berlangsung selama tiga hari di Tasik Kenyir.

Hadir sama, Pengurus Besar KETENGAH, Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Sebelum ini, KETENGAH memperuntukkan lebih RM48 juta bagi menaik taraf infrastruktur termasuk jeti, sistem pengangkutan air, tapak perkhemahan dan kemudahan asas di sekitar Tasik Kenyir bagi menjamin keselesaan pelancong.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI