JELI, 30 Oktober - Polis Kelantan bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dengan melaksanakan beberapa penambahbaikan berdasarkan pengalaman serta laporan pasca banjir besar yang melanda negeri itu tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pihaknya telah dah meneliti laporan berkenaan dan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan segala kekurangan dapat diatasi lebih awal
Antara penambahbaikan yang dilakukan ialah penyelarasan semula penyediaan lokasi pendaratan helikopter atau helipad yang sebelum ini menjadi kekangan semasa operasi menyelamat dan penghantaran bantuan ke kawasan terputus hubungan.
“Daripada post-mortem MTL tahun lepas, kita telah tambah baik segala kekurangan. Alhamdulillah, kita kini berada dalam keadaan bersedia dengan aset dan juga kekuatan keanggotaan yang mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Latihan Amal Simulasi Ancaman Pengganas Ke Atas Sasaran Penting di Stesen Jana Kuasa Sultan Ismail Petra, Pergau, di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata cuti anggota polis di Kelantan belum dibekukan memandangkan pihaknya masih menunggu maklumat awal daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhubung MTL.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan kumpulan suspek yang terbabit dalam kes rompakan sebuah kedai emas di Sungai Golok, Thailand pada 5 Oktober lalu.
“Kalau mereka ada maklumat, boleh kongsi dengan kita — seperti nama, rupa atau gambar — untuk membantu siasatan. Setakat ini, kita belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada pihak Thailand untuk mengesan perompak tersebut,” katanya.
Beliau berharap pihak berkuasa Thailand dapat menyalurkan maklumat lanjut termasuk butiran peribadi serta lakaran wajah suspek bagi membantu siasatan rentas sempadan.