fb fb fb fb fb

Penggiat seni, industri kreatif perlu peka garis panduan hasilkan karya

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan

NILAI, 26 Disember- Penggiat seni dan industri kreatif perlu peka mengenai garis panduan dalam menghasilkan karya bagi mengelak menyentuh sensitiviti dan ketidakharmonian dalam masyarakat. 

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, pihaknya mempunyai pasukan khas yang memantau dan melaksanakan penyelidikan berkenaan isu berbangkit berkaitan industri itu. 

"Pihak Jabatan Hal Ehwal Agama boleh memantau dan memberikan panduan kerana kita sudah ada beberapa garis panduan yang boleh menjadi rujukan kepada semua. Namun begitu, apa yang kita harapkan selepas ini adalah untuk memastikan apa-apa bahan daripada luar itu perlulah mendapat kelulusan dan juga tidak menyentuh aspek-aspek sensitiviti masyarakat.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Garis Panduan Persembahan Seni Berbudaya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai.

Mengulas mengenai buku berkenaan, beliau percaya garis panduan itu tidak menyekat kebebasan khususnya para pelajar untuk menceburi bidang seni budaya.

Malah ia akan memberi manfaat khususnya kepada golongan sasaran dalam membentuk sahsiah dan memperkasakan jati diri dalam mencintai seni warisan bangsa.

Buku berkenaan memberi tumpuan kepada tiga bidang persembahan seni sebagai fokus utama iaitu Penerbitan Seni, Seni Persembahan dan Seni Visual.

ROSLINA BINTI DIN