fb fb fb fb fb

Penghargaan khas cerminan keprihatinan kerajaan– Menteri Agama

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berhubung inisiatif penghargaan khas kepada golongan terlibat dalam pemerkasaan institusi agama, disifatkan sebagai satu pengiktirafan besar terhadap peranan komuniti Islam di Malaysia.

Menurut beliau, penghargaan tersebut mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI yang bukan hanya menumpukan kepada pembangunan ekonomi, tetapi turut mengangkat sumbangan spiritual dan sosial rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat.

“Ini bukti jelas bahawa kerajaan sentiasa meletakkan institusi agama dan pembangunan ummah sebagai antara agenda utama negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Golongan yang bakal menerima manfaat langsung merangkumi mereka yang menjadi tunjang kekuatan dan nilai masyarakat, termasuk asnaf, guru KAFA, imam, bilal, tok siak, marbut, pendakwah komuniti, peguam syarie, pegawai hal ehwal Islam serta NGO Islam yang aktif dalam advokasi dan kebajikan.

Dalam masa sama, beliau menyeru agar kerjasama strategik antara agensi agama, masyarakat sivil dan kepimpinan negara terus diperkukuh, demi memastikan kesejahteraan rakyat dipelihara secara menyeluruh.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE