fb fb fb fb fb

TVET generasi baharu fokus jaminan pekerjaan dan pengiktirafan akademik

Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini semakin maju dengan pendekatan yang lebih holistik dan praktikal / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini semakin maju dengan pendekatan yang lebih holistik dan praktikal, jauh berbeza daripada pendekatan tradisional yang berasaskan teori semata-mata.

Menurut Naib Presiden Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Miskiah Tijan, TVET generasi baharu memberi penekanan kepada pendedahan industri sebenar, selari dengan objektif utama TVET iaitu jaminan pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Objektif utama TVET sebenarnya ialah ‘job guarantee’. Maka proses pembelajaran perlu dirangka supaya pelajar benar-benar bersedia sejak awal – bermula daripada proses pengambilan pelajar hingga kepada penglibatan industri dalam menilai kesesuaian bidang pilihan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, hari ini.

2307 SPM TVET 2Naib Presiden Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Miskiah Tijan

Miskiah turut menegaskan TVET tidak hanya tertumpu kepada latihan kemahiran, tetapi turut menekankan elemen pendidikan secara menyeluruh.

“Kita mesti dedahkan pelajar, ibu bapa dan komuniti tentang apa itu TVET agar dapat mengubah persepsi lapuk yang menganggapnya sebagai pendidikan kelas kedua. Sebenarnya, TVET dan akademik saling melengkapi,” jelasnya.

Beliau memberi contoh, di MSU, pelajar TVET menjalani pengajian selama empat tahun – dua tahun secara teori dan dua tahun di industri – sebagai persediaan menyeluruh untuk menghadapi alam pekerjaan sebenar.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan TVET masa kini bukan sahaja membuka laluan kepada peluang kerjaya, malah turut menjanjikan potensi dalam bidang keusahawanan dan sambungan pengajian ke peringkat lebih tinggi, termasuk ke tahap PhD.

“Gabungan pembelajaran teori dan praktikal memberi kelebihan kepada pelajar, bukan sahaja dari segi kemahiran teknikal, tetapi juga dalam melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing dan serba boleh,” katanya lagi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN