fb fb fb fb fb

Pengharaman rokok elektronik bakal dimuktamad hujung tahun ini -KKM

Kementerian Kesihatan (KKM) kini dalam proses merangka Memorandum Jemaah Menteri (MJM) berkaitan pengharaman rokok elektronik / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 11 September – Kementerian Kesihatan (KKM) kini dalam proses merangka Memorandum Jemaah Menteri (MJM) berkaitan pengharaman rokok elektronik.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perincian serta fasa pelaksanaan pengharaman itu akan dibawa ke Kabinet setelah MJM berkenaan dimuktamadkan.

“Saya minta sedikit masa sebelum mengumumkan bila dan bagaimana pelaksanaan ini akan dibuat. Semua perincian telah disediakan mengikut beberapa fasa, namun keputusan muktamad perlu dibawa ke Kabinet.

“Saya tahu Perdana Menteri sangat menyokong usaha ini, malah beliau menekankan agar ia dilaksanakan dengan teratur,” katanya selepas melancarkan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia di ibu negara, hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan MJM berhubung pengharaman rokok elektronik dijangka dibentangkan kepada Kabinet selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Selain itu, KKM telah membentangkan laporan cadangan awal jawatankuasa kepakaran dalam mesyuarat Kabinet bagi memperkukuh pelaksanaan dasar tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN