fb fb fb fb fb

PM dijangka hadir pertemuan khas pemimpin Islam di Doha

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis perjumpaan bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Sarawak, di Kuching / Foto Bernama

KUCHING, 11 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri pertemuan khas ketua-ketua negara Islam di Doha, Qatar minggu hadapan, bagi membincangkan perkembangan mutakhir di Gaza.

Beliau berkata, jemputan rasmi telah diterima daripada Emir Qatar dan sekiranya pertemuan ditetapkan pada 15 September, beliau akan berusaha menghadirinya walaupun keesokan harinya adalah sambutan Hari Malaysia.

“Isu utama yang akan dibincangkan adalah mengenai perkembangan mutakhir dan serangan berterusan rejim Zionis Israel ke atas bumi Gaza yang keterlaluan dan melampau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan perjumpaan bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Sarawak, di sini.

Datuk Seri Anwar menegaskan, pendirian tegas Malaysia dalam isu Gaza adalah berdasarkan prinsip kemanusiaan yang menolak sebarang bentuk keganasan terhadap orang awam.

“Janganlah sampai kita bicara soal budaya, kemajuan, kaum atau agama, tetapi apabila anak-anak kecil dibunuh, rumah dimusnahkan, ia tidak memberi kesan kepada kita. Jadi biarlah kita menjadi contoh kemanusiaan, perasaan ihsan dan kasih sayang,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN