fb fb fb fb fb

Penggunaan 'vape' dalam kalangan remaja bawah umur meningkat- Dr. Dzulkefly

Datuk Seri Dr. Dzulkefly ditemui media selepas Karnival World No Tobacco Day (WNTD)-SEGARUN 2024

KUALA LUMPUR, 2 Jun- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan sebanyak 28 notis kesalahan penjualan rokok kepada orang belum dewasa (OBD) sepanjang tempoh dua tahun ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berbanding tahun lalu, 26 notis dikeluarkan manakala dua notis pada tahun ini.

Selain itu, katanya, semua pihak perlu sedar bahawa Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Morbidi (NHMS) terbaru menunjukkan peningkatan penggunaan rokok elektronik (e-rokok) atau vape membabitkan golongan yang berumur 13 hingga 17 tahun.

"Dapatan dalam NHMS tinjauan morbiditi kebangsaan survey terbaru menunjukkan, lingkungan umur 13 hingga 17 tahun yang merokok menurun iaitu daripada 13.8 peratus pada 2017 kepada 6.2 peratus pada 2022.

"Malangnya, vape atau penggunaan rokok elektronik meningkat daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada 2022,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Karnival World No Tobacco Day (WNTD)-SEGARUN 2024 sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2024 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara faktor peningkatan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja disebabkan produk itu bersifat menarik.

Tambahnya, faktor lain disebabkan promosi produk berkenaan yang berleluasa tanpa kawalan di media sosial.

Sementara itu, Menteri itu turut memaklumkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sudah diwartakan pada Februari lalu.

Bagaimanapun, katanya, perintah pelaksanaan Akta 852 itu belum dilaksanakan dan berkemungkinan ia akan dilakukan pada pertengahan tahun ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE