fb fb fb fb fb

Rasuah: Dua pembantu penguasa kastam didakwa di mahkamah

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 2 Jun- Dua pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4,300 pada 2020.

Kedua-dua tertuduh yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Tertuduh pertama, Mohd Faizul Mat Nasir, 34 tahun didakwa dengan satu pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,750 manakala tertuduh kedua, Mohamad Rasul Mohd Zukri didakwa dengan dua pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM2,550.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Maybank Berhad di Jalan Mahmood, Kota Bharu.

Ia sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori kargo milik sebuah syarikat yang membawa keluar barangan daripada Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Hakim memutuskan jaminan Mohd Faizul sebanyak RM7,000 dan Mohd Rasul sebanyak RM8,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya setiap bulan, selain tidak boleh menganggu saksi.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Julai ini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM