fb fb fb fb fb

Guna tenaga nuklear, MOSTI laksana libat urus dengan pemegang taruh

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Mac- Pelan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) mengenai penggunaan tenaga nuklear untuk penjanaan kuasa elektrik masih di peringkat libat urus dengan semua pemegang taruh.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, ini memandangkan ia memerlukan kajian menyeluruh sebelum dilaksanakan.

Kajian itu diperlukan bagi mengenal pasti pilihan teknologi yang bersesuaian khususnya berkaitan aspek keselamatan dan ekonomi dalam menangani isu peralihan tenaga dan perubahan iklim.

"Berdasarkan kepada garis panduan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) (milestone approach), pelbagai isu infrastruktur dalam negara perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pemerolehan teknologi melibatkan tenaga nuklear dalam negara.

"Sekiranya kerajaan memutuskan untuk menggunakan tenaga nuklear bagi tujuan penjanaan elektrik pada masa depan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Jabatan Tenaga Atom bertanggungjawab untuk memastikan pembangunan teknologi nuklear bagi tujuan tersebut dikendalikan dengan selamat dan mematuhi Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304)", katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Dewan Negara.

ROSLINA BINTI DIN