fb fb fb fb fb

Penggunaan nama Menu Rahmah dialu-alukan - Salahuddin

(Salahuddin Ayub (tengah) bersama pemilik Samballana, Suhana Mohd Esa (kiri) menunjukkan
Menu Rahmah)

JOHOR BAHRU, 4 Februari- Penggunaan nama Menu Rahmah dalam mana-mana jenama restoran atau rangkaian makanan amat dialu-alukan, selagi kualiti dan kuantiti makanan atau minuman tersebut dalam keadaan baik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menganggap penggunaan nama tersebut sebagai menyahut seruan kerajaan untuk membantu rakyat.

"Selagi mana tujuan mereka menggunakan nama Rahmah untuk tujuan menyediakan menu RM5 ke bawah, saya alu-alukan.

"Tidak menjadi satu kesalahan, asalkan dari segi kebersihan, premis mestilah mematuhi peraturan peraturan ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri," katanya kepada pemberita di sini.

Tambah beliau, usaha itu perlu diteruskan kerana ia memberi peluang kepada rakyat menikmati juadah yang dimahukan dengan harga berpatutan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan penganjuran jualan-jualan Rahmah seperti Jualan Buah-Buahan Rahmah, Jualan Sayur-Sayuran Rahmah dan Bazar Rahmah pada masa akan datang.

(Salahuddin Ayub (tengah) dalam sidang media selepas merasmikan Menu Rahmah
di restoran 
Samballana Bandar Dato Onn di Johor Bahru
pada 4 Februari 2023)

Media Baharu