fb fb fb fb fb

Penggunaan kod QR imigresen dimuktamadkan selepas tamat tempoh percubaan

Datuk Seri Fadillah Yusof

PUTRAJAYA, 28 Mei- Penggunaan kod respons pantas (QR) bagi pelepasan imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor akan dimuktamadkan selepas tempoh tiga bulan percubaan fasa pertama selesai dilaksana.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, fasa pertama sistem berkenaan melibatkan warganegara Malaysia di BSI dan KSAB bagi mod perjalanan bas dan motosikal bermula 1 Jun ini.

"Proof on concept itu yang kita setuju semalam. Perkara ini akan dilaporkan juga kepada kabinet, dua yang dilaksanakan. Pertama,untuk penumpang bas ia akan dilakukan di BSI,.

"Manakala untuk motosikal akan dilaksanakn di laluan kedua. Ini yang kita cuba, ada tiga sistem cadangan daripada syarikat-syarikat yang kemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kita akan cuba ketiga-tiga sistem ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Pengurusan Aliran Air (SWaM) di sini.

Fadillah juga berkata hasil Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bil.1 2024, yang diadakan semalam akan dibentangkan ke Kabinet secepat mungkin.

Fasa pertama sistem Kod QR dapat mengurangkan tempoh menunggu lebih 50 peratus pengguna bas dan motosikal pada waktu puncak.

Berdasarkan statistik pada 2023 seramai 116 juta pengembara melalui kompleks CIQ di BSI dan KSAB, manakala sejak Januari tahun ini sehingga 15 Mei, seramai 53.8 juta pengembara dengan purata 398,000 sehari direkodkan.

Dalam perkembangan lain, kerajaan akan menambah baik Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) sebagai satu langkah penting untuk meningkatkan kecekapan dalam pengurusan saliran hujan bagi mengurangkan masalah banjir.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, dokumen itu sentiasa diperbaharui mengikut keadaan masa.

"Ianya (MSMA) satu dokumen yang sentiasa diperbaharui mengikut keadaan masa. Salah satu yang kita kena lihat adalah memperkenalkan teknologi yang bersesuaian untuk kita pantau.

"Selain itu ia juga membolehkan kita memantau ramalan berhubung kait dengan kemungkinan berlakunya bencana. Dengan adanya sistem itu, mungkin ianya dapat membuat ramalan yang lebih awal," katanya.

MSMA merupakan prasyarat untuk kelulusan pelan pembangunan yang melibatkan infrastruktur saliran menjadi fokus utama dalam menangani masalah banjir jangka panjang dan menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam pembendungan banjir.

Kaedah dan panduan dalam MSMA memberikan landasan kukuh bagi reka bentuk sistem saliran yang mampu menampung intensiti hujan yang tinggi terutamanya di kawasan bandar yang padat.

Selain itu, MSMA juga menekankan keperluan untuk pengurusan sumber dan rawatan air secara berkesan dengan memanfaatkan kaedah seperti kawalan sumber, pengurangan aliran dan pembinaan sistem biologi seperti tasik serta paya bakau.

Ia juga secara tidak langsung bukan sahaja membantu mengurangkan risiko banjir tetapi juga memberi peluang memperbaiki kualiti air serta alam sekitar.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI