MELAKA, 4 Mei- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka sekali lagi menegaskan tindakan menaiki kenderaan mikromobiliti dan memandunya di atas jalan raya awam adalah melanggar undang-undang.
Perkara itu susulan rakaman video berkenaan tular di media sosial yang memaparkan tiga individu menaiki kenderaan berkenaan di atas jalan raya awam.
JPJ dalam satu kenyataan memaklumkan kesalahan tersebut boleh dikenakan tindakan bawah peruntukan sedia ada.
"JPJ memandang serius kesalahan terbabit dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu yang ingkar mengikut peruntukan bawah Seksyen 54 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
"Perintah Larangan Kenderaan (Penggunaan Jalan) (Pindaan) 2021 yang telah diwartakan menyenaraikan antara kenderaan mikromobiliti di larang di atas jalan raya ialah E-skuter; Hoverboard; Monowheel; Segway dan Basikal elektrik tanpa kelulusan jenis," menurut kenyataan itu.
Kenderaan berkenaan hanya dibenarkan untuk digunakan di kawasan tertentu seperti taman rekreasi, laluan khas atau kawasan persendirian sahaja.
Justeru, JPJ mengingatkan orang ramai termasuk ibu bapa untuk memantau penggunaan kenderaan mikromobiliti yang semakin popular.
Sebarang maklumat berhubung pelanggaran undang-undang tersebut boleh disalurkan kepada JPJ atau pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.