PETALING JAYA, 4 Mei - ASEAN Cooperative Dialogue 2025 (ACD2025) bakal menjadi medan perbincangan pelbagai isu kritikal melibatkan gerakan koperasi anggota ASEAN.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, program dua hari mulai 13 Mei ini, membolehkan peserta meneroka peluang kerjasama strategik merentasi pelbagai bidang dan mengiktiraf kepentingan gerakan koperasi.
“Kebanyakan negara hanya fokus kepada koperasi pertanian. Kita berharap dengan adanya ACD2025, peranan dan sumbangan koperasi diangkat menjadi wadah yang lebih besar merentasi pelbagai sektor. Kita mencadangkan ia juga diletak dibawah sektor ekonomi.
"ANGKASA juga ingin mencadangkan agar setiap negara ASEAN mempunyai kementerian yang bertanggungjawab bagi memastikan pembangunan sektor koperasi,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Prapeluncuran ACD2025 yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud di ibu pejabat ANGKASA, di sini hari ini.
ACD2025 bakal berlangsung di ibu negara, dijangka menghimpunkan 150 peserta termasuk pemimpin-pemimpin koperasi dari sembilan negara ASEAN.