KUALA LUMPUR, 4 Mei- Tindakan mempamerkan harga ubat di klinik swasta dan farmasi disifatkan sebagai usaha proaktif Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meningkatkan kuasa memilih kepada pengguna dalam menentukan harga ubat bersesuaian dengan kemampuan masing-masing.
Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, namun pengguna diingatkan supaya tidak menjadikan usaha tersebut sebagai salah satu faktor untuk mengelak daripada mendapatkan rawatan kesihatan oleh doktor bertauliah.
"Apabila harga ubat dipamerkan, pengguna boleh bandingkan antara farmasi dan klinik swasta. Tetapi perlu difahami bahawa harga lebih rendah di farmasi tidak termasuk yuran konsultasi, pemeriksaan dan prosedur yang hanya boleh dilakukan oleh doktor," jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi RTM berhubung langkah mempamerkan tanda harga di klinik swasta dan farmasi.
Walaupun terdapat perbezaan harga ubat namun pemeriksaan dan nasihat daripada doktor bertauliah adalah penting untuk mendapatkan rawatan yang tepat.
Perkara itu meliputi aspek pemeriksaan klinikal antaranya nasihat perubatan dan ujian diagnostik.
Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh
"Contohnya, pesakit yang mengalami batuk berpanjangan mungkin hanya membeli ubat batuk di farmasi tanpa menyedari kemungkinan simptom itu berpunca daripada penyakit serius seperti batuk kering (tuberkulosis) atau influenza.
"Hanya doktor yang boleh menentukan punca sebenar selepas pemeriksaan menyeluruh," tambahnya lagi.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengamalkan "doktor hopping" atau menyimpan stok ubat secara berlebihan kerana ia boleh membawa kepada masalah polifarmasi dan interaksi ubat yang berbahaya.
"Ubat perlu diambil mengikut keperluan semasa dan preskripsi. Simpanan ubat yang lama atau pembelian tanpa pemeriksaan boleh mengundang risiko kesihatan. Diagnosis yang betul hanya boleh diperoleh menerusi pemeriksaan menyeluruh oleh doktor bertauliah," katanya.
Pengamal perubatan juga perlu menekankan ketelusan ketika mengenakan caj dan memberi rawatan kepada pesakit selain mematuhi etika kedoktoran.
Beliau juga menggesa semua pengguna agar lebih bertanggungjawab dalam membuat keputusan berkaitan pembelian serta penggunaan ubat, di samping mengamalkan gaya hidup sihat bagi mengurangkan kebergantungan terhadap ubat dan rawatan jangka panjang.