KUALA LUMPUR, 4 Mei - Masjid dan surau di Wilayah Persekutuan diseru menjayakan usaha kerajaan menangani isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat terutama wanita.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia penting bagi memastikan masalah tersebut dapat dibendung secara holistik, merangkumi aspek fizikal, mental, sosial dan rohani.
"Di negara kita, ada dalam kalangan wanita yang memiliki gejala masalah mental. Ia boleh memberi kesan kepada pembinaan masyarakat MADANI. Justeru, Islam sebagai agama yang syumul, menyediakan penyelesaian dan masjid adalah asasnya," kata beliau pada sidang media Program 'Thy Me Time @ Masjid' di Masjid Azzubair Ibnul Awwam, di sini hari ini.
Program itu bertujuan mentransformasikan masjid sebagai pusat sokongan kesejahteraan komuniti.
Ia menawarkan pelbagai aktiviti antaranya sembang santai bersama pakar psikiatri, tausiyah emosi dan kumpulan pemulihan emosi.
Turut disedia, latihan pernafasan dan refleksi berkumpulan serta rangkaian sokongan.