fb fb fb fb fb

Pengguna diminta buat laporan jika ada peniaga kenakan syarat pembelian gula

FOTO FAIL

BUTTERWORTH, 23 Disember - Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meminta pengguna tampil membuat laporan sekiranya terdapat peniaga yang meletakkan syarat mewajibkan pembelian satu kilogram gula putih jernih (premium) terlebih dahulu, jika mahu membeli gula pasir kasar.

Ini bagi membolehkan penguatkuasaan diambil terhadap peniaga terlibat.

Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata perbuatan meletakkan itu merupakan satu kesalahaan dan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pihaknya bagaimanapun belum menerima sebarang aduan berhubung perkara itu setakat ini.

"Jika ada peniaga letakkan syarat nak beli gula biasa perlu beli gula premium, maka itu memang salah, tetapi kita tak terima lagi aduan.

"Kita juga ada pegawai penguat kuasa yang melakukan tinjauan di premis-premis secara berkala bagi memastikan peniaga mematuhi syarat terutama bagi barang kawalan," kata S. Jegan selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2023 di sini.

Jegan berkata ketika ini, bekalan gula di Pulau Pinang adalah mencukupi.

Berhubung SHMMP, beliau berkata sebanyak 174 pegawai penguat kuasa dan 64 pegawai pemantau ditugaskan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah sepanjang tempoh pelaksanaan yang bermula hari ini hingga 27 Disember, bagi membolehkan penguatkuasaan dibuat secara lebih berkesan terhadap aduan pengguna.

Sementara itu, menurut beliau dari 1 Januari hingga 19 Disember lepas, sejumlah 46,079 premis di seluruh Pulau Pinang telah diperiksa dengan 777 kes diambil tindakan atas pelbagai kesalahan membabitkan jumlah sitaan RM3.38 juta, kompaun RM633,300 dan denda sebanyak RM24,000.

Dalam tempoh itu juga, pihaknya menerima 2,264 aduan iaitu 861 mengenai harga barangan dan perkhidmatan, 156 berkaitan bekalan barang kawalan, manakala selebihnya lain-lain aduan.

TETITIA YUSOFF