fb fb fb fb fb

Penggantungan Ahli Parlimen Machang berdasarkan usul pihak kerajaan

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul

KOTA BHARU, 11 Ogos - Penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal selama enam bulan untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat adalah berdasarkan usul yang dibuat pihak kerajaan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menegaskan, dalam soal tersebut beliau hanya melaksanakan tugas mengikut peraturan mesyuarat yang dibenarkan.

Katanya, itu bukan pertama kali tindakan sedemikian dilaksanakan malah sebelum ini terdapat enam hingga tujuh Ahli Parlimen dikenakan tindakan sama.
 
"Dalam isu ini kerajaan yang mengusulkan jadi untuk itu saya cuma kendalikan, bukan saya yang hukum yang kendalikan adalah saya cuma kendalikan. Satu lagi ia ada beberapa kaedah jadi kaedah ini dibenarkan perintah tetap, dia bukan orang pertama sebelum ini ada juga dikenakan tindakan ini. Terpulanglah speaker, cuma mentadbir melaksanakan tugas seperti termaktub dalam undang-undang," kata Johari.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Lawatan Kerja Yang di-Pertua Dewan Rakyat ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sempena Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Se-Malaysia Tahun 2024, di Kompleks Kota Darul Naim, di sini.
 
Turut hadir ialah Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Terdahulu media melaporkan Wan Ahmad Fayhsal yang digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat memaklumkan beliau boleh membela diri dalam Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, sekiranya dipanggil terlebih dahulu sebelum tindakan terhadapnya diputuskan.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang digantung enam bulan berkuatkuasa 17 Julai lalu itu berkata, ia berikutan pendedahan yang dibuat di Dewan Rakyat itu bukan surat layang sebagaimana didakwa.

Mengulas lanjut Johari berkata, Ketua Whip perlu memainkan peranan dengan menyemak ucapan daripada mana-mana Ahli Parlimen supaya dapat mengelak daripada dikenakan sebarang tindakan.

TETITIA YUSOFF