fb fb fb fb fb

Penggantian lori baharu tangani isu air cecair sampah

FOTO RTM

ALOR SETAR, 21 Disember - Masalah kebocoran 'leachate' atau air cecair sampah yang mencemari jalan awam daripada lori kompaktor sampah dijangka dapat diatasi pada tahun depan dengan sebahagian kenderaan terbabit akan diganti baharu termasuk penggunaan kenderaan elektrik (EV).

Timbalan Ketua Pegawai Ekesekutif Teknikal Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ir Zulkifli Thamby berkata ini berikutan kebanyakan kenderaan kompaktor sampah usang dan berusia melebihi 10 tahun dan masih digunakan oleh pihak konsesi.

Katanya, pembaharuan itu juga antara usaha SWCorp sebagai persediaan memastikan memberi imej bersih sempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Insya-Allah sebahagian daripada kenderaan ini akan ditukar daripada baharu dan sebahagian baharu akan ada EV.

"Itu persediaan kami menghadapi pusingan ketiga tahun depan dan persediaan kami menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Pengasingan Sisa Di Punca (SAS) Kediaman Bertingkat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Setar sempena Program Kedah Bersih 2025 di sini.

Ketika ini, pihaknya melakukan pemantauan berkala dan penguatkuasaan termasuk melakukan operasi mengejut dan mengenakan tindakan di bawah Akta 672 terhadap kenderaan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

PPR Kota Setar merupakan antara enam PPR pertama di Kedah terpilih dalam program tersebut bertujuan memberi pendedahan, pendidikan dan kesedaran  kepada komuniti penduduk supaya mereka  dapat mengasingkan sisa mengikut kategori yang ditetapkan.

Malahan progran berkenaan memberi nilai pulangan wang, sekali gus membantu komuniti terbabit menjana pendapatan melalui sisa pepejal yang dijual.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM