fb fb fb fb fb

Penggantian cip MyKad rosak percuma sehingga 7 Oktober – JPN

Pemilik MyKad yang mengalami masalah cip rosak kini boleh membuat penggantian cip secara percuma sehingga 7 Oktober ini / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 24 September – Pemilik MyKad yang mengalami masalah cip rosak kini boleh membuat penggantian cip secara percuma sehingga 7 Oktober ini.

Pengarah Bahagian Kad Pengenalan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Muhammad Asraf Sukadi berkata selepas tarikh tersebut bayaran RM10 akan dikenakan bagi setiap penggantian.

Menurutnya, langkah itu diambil bagi memudahkan urusan terutama berkaitan penyaluran mekanisme bantuan seperti subsidi bersasar RON95.

2409 ASRAF MYKAD CIP 2Pengarah Bahagian Kad Pengenalan JPN, Muhammad Asraf Sukadi

“JPN bersedia melanjutkan waktu operasi kaunter sekiranya berlaku peningkatan permintaan. Kita akan beri nombor giliran dan habiskan semua pelanggan pada hari yang sama. Waktu operasi rasmi adalah dari 8 pagi hingga 5 petang, tetapi jika nombor giliran ramai, kita akan teruskan sehingga pelanggan terakhir yang sanggup menunggu,” katanya.

Muhammad Asraf berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Tanya Terus yang bersiaran dari Angkasapuri Kota Media, di sini pada Selasa.

Beliau turut memaklumkan pejabat JPN di Ibu Pejabat Putrajaya dan ibu negeri akan dibuka pada Sabtu ini dari pukul 8 pagi hingga 1 petang bagi menyokong program di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Mengulas mengenai kesesakan di kaunter, beliau menasihatkan orang ramai supaya menggunakan sistem MyTemuJanji melalui laman web rasmi JPN bagi membuat tempahan lebih awal.

“Ramai yang panik apabila melihat orang beratur panjang di kaunter. Jadi, untuk elak menunggu lama, orang ramai boleh layari laman web MyTemuJanji JPN, pilih slot masa yang sesuai, isi maklumat peribadi dan hadir pada waktu tersebut. Keutamaan akan diberikan kepada mereka yang sudah membuat temu janji,” jelasnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN