fb fb fb fb fb

URA perlu diteliti dari sudut budaya, ekonomi, politik dan sosial - TPM Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 24 September – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Forum Better Nation ke-8 sebagai satu perbincangan terbuka yang merangkumi pelbagai pandangan mengenai Urbanisasi dan Pembaharuan Semula Bandar (URA).

Beliau menegaskan, keputusan muktamad berhubung perkara itu hanya akan diumumkan pada Konvensyen URA yang dijadualkan berlangsung pada 3 Oktober ini.

“Perbincangan ini bersifat terbuka, melibatkan pelbagai pihak dan bukan hanya ahli UMNO. Walaupun undang-undang URA bukan bersifat drakonian, ia tetap perlu diteliti dari sudut budaya, ekonomi, politik dan sosial. Forum kali ini belum konklusif dan keputusan muktamad hanya akan diputuskan pada Konvensyen URA nanti, yang bakal diumumkan oleh Datuk Seri Johari Ghani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Forum Better Nation ke-8 bertajuk Urbanisasi dan URA di Auditorium Menara Dato’ Onn, WTC, di sini pada Selasa.

Forum tersebut dikendalikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan memberi tumpuan kepada isu-isu semasa berkaitan urbanisasi serta URA, khususnya yang memberi kesan terhadap kelangsungan masyarakat Melayu bandar dari sudut sosioekonomi dan pembangunan mampan.

Sementara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang turut menjadi panel menyimpulkan bahawa pembangunan semula bandar perlu berasaskan kesejahteraan rakyat, bukannya hanya keuntungan pemaju.

Panel lain yang terlibat termasuk Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) serta Dr. Shuhana Shamsuddin, Profesor Adjung Taylor’s University merangkap Presiden Pertubuhan Perekabanda.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN