KUALA LUMPUR, 24 September – Penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter dengan had kelayakan sebanyak 300 liter sebulan bagi setiap rakyat Malaysia disifatkan sebagai keputusan yang tepat pada masanya.
Langkah itu juga dilihat memberi kelegaan kepada orang ramai dalam menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Seorang pengguna, Nizammudin Zamri berkata inisiatif tersebut amat membantu, khususnya bagi kegunaan harian.
Nizammudin Zamri
“Kalau untuk saya, saya bujang, insya-Allah ini membantu untuk kegunaan harian. Baguslah sebab subsidi ini sampai terus kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Hamimah Karmidi berpandangan subsidi tersebut mampu meringankan beban rakyat, terutamanya golongan B40.
Hamimah Karmidi
“Pada pendapat saya, RON95 ini memang dapat membantu rakyat tanpa mengira peringkat. Setiap rakyat Malaysia berhak mendapat manfaat kerana MyKad itu sendiri melindungi hak-hak rakyat,” ujarnya.
Bagi Norhashimah Mohd Isa pula, walaupun penurunan harga itu hanya enam sen, ia tetap memberi sedikit kelegaan.
“Rasa oklah, sebab harga turun enam sen. Sekurang-kurangnya beban pun sedikit berkurang,” katanya.