fb fb fb fb fb

Pengerusi ASEAN : Malaysia punyai kesiapsiagaan yang baik

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan

PUTRAJAYA, 4 Disember- Malaysia disifatkan mempunyai kesiapsiagaan yang baik ke arah mempengerusikan ASEAN tahun depan. 

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn dalam kunjungan hormatnya ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra. 

Datuk Seri Mohamad memaklumkan pertemuan itu antara lain turut membincangkan mengenai persiapan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.  

"Beliau dengan jelas menyatakan tadi bahawa Malaysia kita mempunyai kesiapsiagaan yang amat baik. Ini bukan kali pertama Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, ini merupakan kali kelima termasuk ini nanti tahun depan kita lima kali menjadi pengerusi ASEAN.

"Walaupun kita dah lima kali, tapi ada juga perkara-perkara terutamanya logistiknya perlu kita perkemaskan agar kedatangan tetamu kita daripada negara ASEAN, negara GCC dan juga negara-negara rakan dialog ASEAN nanti bila mereka berada di sini mereka berasa selesa," katanya.

Datuk Seri Mohamad berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi kunjungan hormat Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. 

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menerima kunjungan hormat daripada Dr Kao Kim Hourn yang kini berada di Malaysia sempena lawatan kerja selama tiga hari. 

Pertemuan itu berlangsung kira-kira 45 minit di Pejabat Perdana Menteri. 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE