fb fb fb fb fb

Pengemis bermusim warga asing jejas imej Bandaraya Islam

(Operasi MPKB Tangkap Pengemis di Pejabat Penguatkuasa MPKB)

KOTA BHARU, 28 Mac- Kehadiran "bermusim" kumpulan pengemis dan gelandangan, mencacatkan pemandangan di samping menjejaskan imej Kota Bharu sebagai ‘Bandaraya Islam’.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), Rosnazli Amin berkata, justeru pihaknya tidak mahu lokasi-lokasi tertentu di sini menjadi tempat persinggahan mereka sehingga menimbulkan rasa kurang senang penduduk.

Katanya, modus operandi yang digunakan oleh pengemis warga asing bagi meraih simpati orang ramai adalah dengan memakai pakaian lusuh selain membawa kanak-kanak kecil bersama.

"Ini memberi cerminan yang tidak baik kepada warga Kota Bharu seolah warga nya tidak prohatin kepada orang-orang miskin.

"Sebenarnya tidak, mereka ini merupakan orang asing yang datang khusus untuk kutip derma dan sedekah," katanya.

Beliau berkata beberapa kawasan di bandar Kota Bharu dikenal pasti sebagai lokasi warga asing ini "beroperasi" termasuk di sekitar Padang Merdeka yang bersebelahan dengan Masjid Muhammadi, yang dikatakan antara kawasan ramai orang bersedekah, termasuk membayar zakat fitrah

Mengulas lanjut beliau berkata, sikap masyarakat yang pemurah dan suka memberi secara tidak langsung membuka ruang kepada pengemis menyebabkan kehadiran mereka semakin ramai.


(Operasi MPKB Tangkap Pengemis di Pejabat Penguatkuasa MPKB)

"Kita tahu kedatangan mereka ini (pengemis) adalah semata-mata bagi meraih simpati penduduk tempatan di sini yang terkenal dengan kemurahan hati," katanya pada sidang media Operasi MPKB Tangkap Pengemis di Pejabat Penguatkuasa MPKB di sini, hari ini.

Dalam operasi itu, MPKB menahan 14 pengemis termasuk lapan warga asing berusia tiga hingga 70 tahun.

Seramai 24 orang pegawai dan anggota MPKB, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyertai operasi berkenaan yang dijalankan kira-kira 3 jam, siang tadi.

Media Baharu