fb fb fb fb fb

Pengembara Malaysia-Singapura lengkap vaksinasi dibenar rentas sempadan darat tanpa kuarantin, saringan mulai 1 April

PUTRAJAYA, 24 Mac- Berkuat kuasa 1 April, semua pengembara dari Malaysia dan Singapura yang telah lengkap vaksinasi dibenar merentas sempadan darat kedua-dua negara tanpa perlu menjalani kuarantin atau ujian saringan COVID-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong memaklumkan, ketetapan itu merangkumi ujian prapelepasan dan semasa ketibaan untuk semua kategori pengembara serta pengangkutan darat.

Jelas beliau, Malaysia akan membuka sempadan kepada pengembara antarabangsa bermula 1 April, dan seterusnya melakar satu lagi kejayaan penting dalam memudah cara perjalanan rentas sempadan dengan jiran terdekat, Singapura.

“Pengumuman hari ini mencerminkan hubungan baik, kerjasama pelbagai aspek, dan hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua buah negara.

Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha-usaha pemulihan dengan impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” kata Ismail Sabri.

(Datuk Seri Ismail Sabri membuat panggilan kepada Lee Hsien Loong)

Sementara itu, Hsien Loong berkata, Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang mendalam, mesra dalam pelbagai aspek, serta hubungan antara rakyat yang kukuh.

“Pengumuman hari ini merupakan peristiwa penting dalam peralihan kita ke arah kehidupan dengan COVID-19.

Ia mencerminkan kerjasama kukuh yang dinikmati kedua-dua pihak sepanjang pandemik ini dan akan membantu Malaysia-Singapura muncul lebih kuat daripada krisis ini," katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri telah menghubungi Hsien Loong menerusi panggilan telefon.

Kedua-dua Perdana Menteri mengakui bahawa Malaysia dan Singapura telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan khusus dalam pelaksanaan program vaksinasi dan pengurusan pandemik COVID-19 bagi penduduk negara masing-masing.

Selain, mengambil maklum kemajuan yang telah dicapai dalam meneruskan perjalanan rentas sempadan melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (Udara) dan (Darat).

Media Baharu